Skip to content

AUSIS

Narrow screen resolution Wide screen resolution Increase font size Decrease font size Default font size default color black color cyan color green color red color
Home arrow Artikel arrow Tazkirah arrow Risalah Ramadhan
Risalah Ramadhan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Saturday, 15 September 2007
ramadhanKetika Ramadhan menjelang, Rasulullah saw bersabda bermaksud; Wahai manusia, menjelang bulan agung lagi berkat. Bulan yang didalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan amalan-amalan fardhu, seolah-olah dia telah mendapat 70 pahala fardhu di bulan-bulan lain. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan amalan-amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardhu di bulan-bulan lain. Ia adalah bulan sabar. Ia adalah bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya diselamat daripada neraka. (Hadis)

 
Ramadhan sudah tiba

Ia adalah bulan yang dinantikan oleh mereka yang mahu melipatgandakan ibadah kerana amalan fardhu di dalam bulan tersebut digandakan sebanyak 70 kali ganda. Amalan sunat didalamnya menyamai amalan fardhu di bulan-bulan selain Ramadhan. Oleh itu masyarakat berpusu-pusu ke masjid bersolat tarawih. Semoga amalan dan latihan bersolat jemaah di masjid sepanjang bulan ramadhan diteruskan pada bulan selain Ramdhan setelah tamatnya Ramadhan.Alangkah baiknya jika kita memperuntukkan beberapa hari dan cuti kita tahunan kita untuk hari-hari terakhir Ramadhan agar kita dapat berikhtikaf di siang hari dan jua di malamnya kita memanfaatkan kelebihan pahala ibadah 1000 bulan yakni malam Lailatul Qadr. Pada masa iktikaf juga kita dapat mengenali kenalan iktikaf kita di masjid, berkenalan dengan mereka yang selalu memakmurkan masjid dan menambahkan kenalan kita yang terdiri dari mereka yang soleh dan musleh. Kita dapat mengetahui pelbagai pengalaman dan ilmu yang tidak kita dapati di dalam kerjaya dan jua pembelajaran kita.

 
Ramadhan Bulan Beramal Jariah

Bulan Ramadhan menjadi pilihan ramai untuk menyumbang lebih kerana fadhilat amalan yang telah disebutkan seperti sebelum ini. Samada dengan zakat ataupun derma sunat. Ketahuilah terlalu besar ganjaran memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa samada mereka kaya, miskin dan jua fakir. Terlalu banyak tempat dan wasilah untuk kita menderma kerana selain masjid, terdapat banyak agensi yang boleh di percayai untuk beramal jariah. Diperingatkan disini bahawa perlulah mencari agensi yang dipercayai untuk memberi derma seperti NGO dan sebagainya. Carilah rumah-rumah anak yatim dan pusat pemulihan contohnya agar segala usaha kita adalah untuk perkembangan insaniah masyarakat. Juga tidak kita hadkan kepada negara kita sahaja bahkan perlu mengingati kesusahan umat Islam di seluruh dunia contohnya di Palestin, Kashmir, Chechnya, Iraq dan banyak lagi. NGO seperti AmanPalestin, Human Appeal International, Mercy Mission, dan banyak lagi NGO yang lain adalah antara beberapa nama yang terkenal dalam menolong umat Islam di luar sana. Palestin masih memerlukan dana sumbangan lantaran embargo yang ditekankan terhadap mereka kerana tidak mahu tunduk pada penguasaan asing. Kita umat Islam wajib untuk membantu mereka walau apapun yang berlaku dan harus membantu biarpun dengan satu sen ataupun sebutir nasi.

 
Ramadhan Memupuk Silaturrahim

Pada waktu Ramadhan yang berkah inilah peluang untuk kita menjalinkan silaturrahim dengan umat Islam yang lain. Kita perlu memanfaatkan masa untuk berbuka bersama, bersahur bersama, bertarawih bersama, jua qiamullail bersama. Di Malaysia kita boleh mengajak rakan sekuliah dan rakan sekerja untuk melakukan ini semua. Bagi mereka yang berada di luar negara gunakan kesempatan untuk bergaul dengan Muslim dari serata dunia dan berkenalan dengan mereka. Rapatkan ukhuwwah Islamiah biar ia tidak mengenal tanah dan benua. Keluarkan kita dari kepompong kerja dan pelajaran kita sahaja. Sesungguhnya kita dilahirkan dalam berbagai bangsa untuk saling mengenal.

Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Hujurat:13)

Buatlah majlis berbuka puasa bersama-sama kerana Rasulullah saw bersabda;
“Sesiapa yang memberi makan minum kepada orang yang berpuasa, maka baginya adalah pahala puasa orang tersebut tanpa mengurangi pahala orang tersebut “

Maka berebutlah kita untuk menggapai ganjaran tersebut. Ingatan untuk kita semua agar sentiasa mengambil peluang ini. Untuk yang mempunyai kemampuan boleh kita mengadakan majlis berbuka dan menjamu, akan tetapi bagi yang kurang berkemampuan seperti mereka yang bergaji rendah ataupun pelajar universiti dalam dan luar negeri, anda boleh mengambil peluang dengan hanya membawa sedikit kurma untuk orang berbuka puasa. Juga boleh membeli hanya sebotol susu, jus buahan dan minuman kerana ia tidaklah begitu mahal. Pokoknya ialah kita berusaha untuk mendapatkan ganjaran itu.

 
Ramadhan adalah bulan latihan

Ramadhan melatih kita untuk menahan pancaindera kita dan mendidik nafsu agar tunduk kepada peraturan Allah. Seringkali kita dapati jika kita sering melakukan sesuatu maksiat di bulan lain, maka kita dapat menjauhinya pada bulan Ramadhan. Ini kerana kita hanya berperang dengan nafsu kita sahaja kerana syaitan telah dirantai pada bulan tersebut. Maka kita menguatkan diri kita dengan amalan puasa dan menahan diri dari segala perkara yang dilarang, dan mudah mengalahkan lawan kita yang satu iaitu nafsu kita. Ingatlah, bulan Ramadhan adalah medan yang disediakan oleh Allah untuk kita menguatkan diri kita dari segi ruhani, jasmani dan aqli agar kita menjadi Mukmin yang hebat. Maka itulah dikatakan medan ini sebagai “Madrasah Tarbiyyah Ramadhan”.

Rasulullah saw bersabda;
“Jika seseorang diherdik oleh seseorang yang sedang berpuasa maka hendaklah dia berkata..Aku sedang berpuasa."
 
“Betapa ramai orang yang berpuasa akan tetapi tidak mendapat apa-apa selain daripada lapar dan dahaga.”

 
Ramadhan adalah Bulan al-Quran.

Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia, Baitul Izzah pada malam Lailatul Qadr pada bulan Ramadhan. Kemudian al-Quran diturunkan secara beransur-ansur di zaman Rasulullah saw bermula pada malam Nuzul Quran, 17 Ramadhan. Setiap tahun Jibril datang menyemak hafazan Rasulullah saw juga dalam bulan Ramadhan. Allah juga mengaitkan Ramahdan dan al-Quran secara jelas dan qat’ie didalam firmannya

(beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). (2:185)

Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan (al-Qadr:1)

Oleh itu suasana Ramadhan adalah suasana al-Quran. Maka hendaklah Ramadhan kita diisi dengan tilawah al-Quran dan hafalan al-Quran. Jangan kita fikirkan tilawah al-Quran perlu untuk kita duduk di masjid, mandi dan bersih segalanya, perlu memakai baju Melayu atau kain sembahyang. Kita hanya perlu berwuduk dan tilawah boleh dimana-mana sahaja samada menunggu bas, menunggu giliran di bank, sewaktu rehat kerja, menunggu waktu berbuka, selepas subuh dan lain lain masa yang mungkin singkat tapi boleh dimanfaatkan. Kita tidak perlu malu untuk berbuat demikian kerana ganjaran Allah adalah lebih layak untuk kita berasa rugi meninggalkannya berbanding pandangan atau ejekan manusia jahil.

Di kebanyakan negara Arab, amalan ini adalah biasa dilakukan. Mereka terutama pemuda mempunyai Quran kecil bersaiz poket untuk kesenangan membawa di mana-mana sahaja. Kaum wanita dan gadis membawa di dalam tas tangan mereka. Ini adalah langkah praktikal kerana kita mampu membeli dan membawa PDA ataupun peralatan perhiasan yang lain tapi tidak Quran kecil yang tidak mahal harganya. Gantikanlah al-Quran selain majalah gossip hiburan dan catalog jualan yang tiada gunanya dan tidak pernah kehabisan.

 
Ramadhan bulan Menghidupkan Masjid

Memakmurkan masjid di bulan Ramadhan adalah langkah yang berkah dalam usaha menggalakkan masyarakat beribadah dan mendekatkan mereka dengan Islam. Meriahkan masjid dengan solat Tarawih, majlis iktikaf , majlis Qiyamullail. Menyediakan makanan dan jamuan seperti moreh adalah digalakkan untuk membuatkan manusia gembira dan berasa seronok untuk datang beribadah. Sekurang-kurangnya masyarakat meluangkan masa mereka di masjid dari hanya duduk di rumah menonton rancangan televisyen yang hanya mengurangkan penghayatan Ramadhan.

Bagi mereka yang berada jauh dari rumah dan berada di perantauan, maka gunalah peluang bersama rakan-rakan untuk menghidupkan rumah atau masjid berdekatan dengan suasana Ramadhan yang berkah. Aturkan program memasak bersama, bangun sahur bersama, jua latihan qiyam bersama. Jalinan ukhuwwah sesama Muslim akan lebih bermakna pada waktu ini.

Bulan ini juga perlu dimanfaatkan secara optimum bagi para pendakwah kerana manusia lebih dekat dengan fitrahnya pada masa Ramadhan. Syaitan yang selalu menyesatkan manusia dan ingin manusia melalui jalan yang bengkok telahpun dirantai. Manusia begini adalah mudah untuk diajak dan didekatkan dengan Islam, dan mereka tidak akan mempunyai banyak alasan untuk menjauhkan diri dengan ibadah. Maka jinakkanlah hati mereka dengan cara-cara berhikmah dan mudah agar mereka dengan Islam.

 
Moga artikel yang sedikit ini memberikan manfaat kepada semua. Moga kita digolongkan dalam golongan yang mendapat keselamatan dari azab Neraka dan dikurniakan Syurga Firdaus bersama para Rasul, Nabi, syuhada dan siddiqin. Moga Allah membimbing kita untuk menjadi Mukmin yang lebih hebat setelah keluar dari Madrasah Tarbiyyah Ramadhan.

 
Wallahu al-Musta’an

 

 

 
Comments
Add New Search
Write comment
Name:
Email:
 
Website:
Title:
UBBCode:
[b] [i] [u] [url] [quote] [code] [img] 
 
 
:angry::0:confused::cheer:B):evil::silly::dry::lol::kiss::D:pinch:
:(:shock::X:side::):P:unsure::woohoo::huh::whistle:;):s
:!::?::idea::arrow:
 
Please input the anti-spam code that you can read in the image.

3.20 Copyright (C) 2007 Alain Georgette / Copyright (C) 2006 Frantisek Hliva. All rights reserved."

Last Updated ( Friday, 08 February 2008 )
 
< Prev   Next >
Melbourne_Library.jpg
Muharram
11
Thursday
1430 HIJRAH
uoa_logo.jpg

Komen Terbaru

Terbaru di Forum

7.jpg

Who's Online

Get Moolets