|
Islam amat menitikberatkan umatnya agar sentiasa menghargai masa. Allah SWT telah menegaskan di dalam Al-Quran bahawa masa itu amat berharga dan mereka yang mensia-siakan usia hidupnya dengan perkara yang sia-sia akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Masa merupakan neraca perhitungan terhadap segala pergerakan insan. Masa yang berlalu itu tidak akan kembali walau sedetik pun. Masa akan sentiasa meninggalkan kita, sedar ataupun tidak.
Allah SWT menggambarkan betapa mustahaknya masa dalam kehidupan insan melalui firmanNya yang bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran". (Al-Asr: 1-3) Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, usia mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa senangmu sebelum papa, masa hidupmu sebelum mati dan masa lapangmu sebelum sibuk". (Riwayat At-Tarmizi)
Orang yang benar-benar menghargai masa tidak akan membiarkannya berlalu begitu sahaja. Malah ia dipenuhi dengan kerja-kerja amal soleh lagi bermanfaat kerana ia sedar bahawa waktu itu adalah umpama umurnya. Dengan berlalunya masa bererti kurang umurnya dan kurang pula amalannya serta kurang pula bekalan pahalanya sedangkan itulah bekalan yang akan dibawa ke akhirat kelak. Bagi mereka yang tidak menggunakan masa itu dengan baik, ia beroleh kerugian dalam hidupnya, bak kata Saidina Ali: "Masa itu ibarat sebilah pedang, jika kamu tidak memancungnya, nescaya ia akan memancung kamu". Seseorang yang dapat mengurus masanya dengan bijak akan mencerminkan wibawa keperibadiannya yang mulia. Ia juga membawa kesan ke atas segala urusan duniawi dan ukhrawi. Dalam aspek jasmani sebagai contoh, jika peruntukan waktu tidur kita adalah selama enam atau tujuh jam, tetapi kita menonton TV sehingga larut malam, kesannya kita akan mengalami kelesuan pada esok harinya, dengan itu akan menjejaskan prestasi kerja dan kualiti perkhidmatan kita. Begitu juga dalam aspek ibadat, di mana solat pada awal waktu amat digalakkan. Melewat-lewatkan solat tanpa alasan yang munasabah akan menjejaskan kualiti solat kita bahkan amat dimurkai oleh Allah SWT. Ini ditegaskan dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud dengan berkata: "Pada suatu hari para sahabat lalu di hadapan Rasulullah s.a.w. maka Baginda bersabda kepada mereka: Tahukah kamu apa yang difirmankan oleh Tuhan kamu? Mereka menjawab: Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. Rasulullah s.a.w. mengulangi pertanyaan tersebut sebanyak tiga kali... Allah SWT berfirman kepadaku yang bermaksud: "Demi kebesaran dan kemuliaanKu, tiada sembahyang seseorang tetap pada waktunya melainkan Aku memasukkannya ke dalam syurga. Dan barangsiapa bersembahyang di luar waktu, maka jika Aku kehendaki, Aku menghormatinya dan jika Aku kehendaki, Aku mengazabnya". (Riwayat al-Tabrani) Pengurusan masa yang bijak dilakukan oleh mereka yang peka menggunakan masa yang ada padanya. Masa tidak disia-siakan walau sesaat pun kerana mereka yang mengabaikan masa dalam pengurusan akan menghadapi pelbagai konflik dan masalah dalam menyelesaikan kerja. Akhirnya ia akan menghadapi kecelaruan dalam personaliti sehingga memberi kesan negatif ke atas produktiviti dan budaya kerja seseorang. Untuk mengelakkan kerugian dalam hidup ini serta mendapat keberkatan dari Allah SWT maka setiap individu hendaklah memperuntukkan masa seperti berikut: 1. Masa beribadat kepada Allah (ibadat khusus) dengan mengerjakan sembahyang, puasa, zakat, menunaikan haji, berzikir dan lain-lain. 2. Masa bekerja. Mengikut bidang pekerjaan masing-masing, asalkan ia tidak bercanggah dengan syariat Islam. 3. Masa untuk menambahkan intelektual. Samada melalui pembelajaran formal atau tidak, pembacaan, pendengaran, perbincangan, menghadiri majlis ilmu yang boleh meningkatkan kemantapan rohani dan keintelektualan. 4. Masa bersama keluarga. Setiap individu perlu kepada kebahagian keluarga untuk mencapai kebahagian, ia bergantung kuat kepada kebijaksanaan menguruskan masa tersebut. 5. Masa bermasyarakat dan bersosial. Setiap individu memerlukan hidup bermasyarakat dan perlu kepada bantuan orang lain. Oleh itu, kerja-kerja kemasyarakatan perlu diperuntukkan masa yang sesuai dan khusus supaya hubungan antara satu sama lain bertambah erat dan mesra. Sebagai contoh, mengadakan aktiviti gotong-royong, bersukan, berpersatuan, kerja-kerja amal dan sebagainya. 6. Masa berehat. Setiap insan perlu kepada kerehatan setelah penat lelah memerah otak dan tenaga melakukan sesuatu pekerjaan. Oleh itu, ia memerlukan masa tertentu untuk memperolehi kerehatan. Masa rehat adalah penting kepada setiap orang untuk memulihkan tenaga dan fikiran bagi meneruskan kehidupan. Bagi memastikan waktu digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah, maka setiap individu muslim haruslah menyusun jadual harian mengikut keutamaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Semasa berada di tempat kerja tumpuan hendaklah diberikan sepenuhnya kepada tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya sehingga selesai waktu pejabat. Setelah itu, tumpuan hendaklah diberikan pula kepada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan termasuk menjalankan aktiviti-aktiviti rekreasi dan bimbingan keluarga. Pada waktu malam pula, tumpuan hendaklah diberikan kepada bimbingan keluarga serta melakukan amal ibadat secara berjemaah dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Setelah selesai menjalankan tugas-tugas atau aktiviti-aktiviti tersebut sampailah masanya untuk berehat. Rasulullah s.a.w. telah membahagikan masa Baginda kepada empat bahagian: 1. Waktu untuk bermunajat kepada Allah SWT. 2. Waktu untuk bermuhasabah (menghitung diri). 3. Waktu untuk berfikir tentang kekuasaan dan ciptaan Allah SWT. 4. Waktu untuk memenuhi keperluan hidup. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahnya). Dan (ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (Surah Al-Munafiqun: 9). Pembaziran boleh berlaku disebabkan perkara-perkara berikut: 1. Menangguhkan kerja. 2. Tidak mengutamakan kerja-kerja yang lebih penting. 3. Tidak mengikut jadual yang ditetapkan. 4. Tidak merancang kerja harian. 5. Agihan tugas yang tidak sistematik. 6. Keputusan yang dibuat tidak teliti. 7. Menyerahkan tugas kepada orang yang bukan ahlinya. 8. Menggunakan peralatan yang tidak sesuai dengan kehidupan semasa. 9. Sikap pekerja yang tidak mementingkan nilai masa. Kesimpulannya, untuk mewujudkan pengurusan yang cekap dan efisien, ia mempunyai kaitan rapat tentang sejauh mana keberkesanan seseorang itu menguruskan masa dengan baik, kerana pengurusan masa yang baik akan menghasilkan prodaktiviti yang berkualiti. Dengan sebab itu Islam memandang masa itu amat bernilai dan meletakkan bahawa pembaziran masa dan pengurusan yang tidak baik adalah merugikan seseorang itu samada semasa hidup di dunia ini dan juga di akhirat.
|
Tips memudahkan pema...
Kem Lepasan SPM 2008
wsalam.. kem lepasan spm utk lepasan2...
Kem Lepasan SPM 2008
salam.. saya berminat untuk mendafta...
Keutamaan Zuhud Di D...
image: link: zuhud adlh sifat yg ...
Kem Lepasan SPM 2008
waalaikumussalam. utk program akan dt...