(En. Wan Ahmad Nizar, wakil AUSIS, menyampaikan sumbangan)
Sedarkah anda akan isu yang melanda negara jiran kita sekarang? Ya, sekarang Thailand dilanda banjir yang amat teruk! AUSIS telah berjaya membuat kutipan kilat dan menyumbang sebanyak AUD$2133 bersamaan RM6885.05 kepada tabung kutipan ini.
Banjir yang melanda negara Thailand semakin meruncing. Banjir yang dikatakan terburuk dalam tempoh 50 tahun ini telah menenggelami sepertiga negara Thailand. 2.4 juta penduduk di lebih 10,000 kampung dari 30 wilayah di bahagian utara dan tengah terjejas oleh banjir yang melanda secara berperingkat sejak 25 Julai yang lepas. Jumlah kematian meningkat ke 400 orang. Banjir ini dijangka berterusan sehingga akhir bulan Disember 2011.
Banjir ini juga turut melanda 30,000 buah rumah atau hampir 100,000 orangpenduduk Islam di Thailand yang kebanyakannya tinggal di tepi sungai Chao Praya, sebuah sungai terpanjang (372 km) dan terpenting di negara Thailand yang mengalir dari utara Thailand menuju ke Teluk Thailand di selatan.
Umat Islam di Thailand menghadapi masalah untuk berpindah ke pusat-pusat penempatan sementara magsa banjir yang disediakan oleh kerajaan kerana agak sukar untuk mendapatkan makanan yang halal di pusat-pusat tersebut. Umat Islam di Thailand telah mengambil inisiatif mewujud pusat penempatan sementara mangsa banjir sendiri yang dinamakan “Pusat Hijrah”.
Terdapat 7 Pusat Hijrah di kawasan selamat sekitar Bangkok. Setiap Pusat Hijrah yang menggunakan premis Sekolah, Masjid dan Stadium ini mampu menampung antara 200 hingga 300 orang magsa banjir. Kebanyakan yang tinggal di Pusat Hijrah ini ialah kaum wanita, orang tua dan kanak-kanak. Ramai kaum lelaki yang masih bertahan di sekitar rumah masing-masing untuk menjaga harta-benda mereka.
Oleh itu, IKRAM, AUSIS beserta beberapa NGO Islam yang lain telah melancarkan kempen sumbangan kepada mangsa di Thailand pada bulan Oktober lepas. Alhamdulillah, sumbangan telah disampaikan kepada wakil Thailand pada 2 November lepas.
Moga sumbangan ini dapat meringankan serba sedikit penderitaan yang dialami oleh saudara kita di sana.
Related posts:








